Khamis, 16 Februari 2012

halal di united kingdom 1

Blackberry Pearl hadiah harijadinya yang ke-29 digenggam erat. Nak di on sekarang, takut transmisi signal ganggu signal kapal terbang. "Damn! cepatlah landing!" bisik Boja dalam hati. Blackberry tadi sekali lagi dibelek-belek. Ini kali pertama ia digunakan selepas 5 bulan tak terusik dalam kotak. Alasannya, sayang sebab hadiah dan alasan utamanya tak reti guna. Nokia torchlight itu jugalah pembantu peribadinya selepas komputer ribanya. Kata Boja, dengan begini dia lebih rasa bersederhana. Cukup sekadar untuk buat dan jawap panggilan, juga terima dan hantar sms. Tapi kali ini, harus guna. Nanti dia kecil hati.

Pramugari bernama Linda tadi kelihatan ulang-alik dari kokpit belakang ke depan. Entah apa yang dibuatnya. "Nasib baik kau comel dan berpayudara besar, ni kalau Sudin nampak terus naik taring ni rasanya ni", bisiknya lagi dalam hati. Linda hilang di kokpit depan. Berselisih dengan pramugari yang lainnya, yang ini kurang comel dari Linda. "Linda namamu teratas, kehkehkeh".

Kilas pandang diterpakan keluar tingkap. Gelap malam kota London diterangi dengan bintik halus cahaya dari bumi, cahaya dari sebarang pencakar langit atau bangunan yang entah bagaimana rupanya di bawah sana, bintik cahaya seolah segerombolan kunang-kunang yang hinggap menetap di pepohon beringin. Entah bagaimana agaknya kota London, adakah sama seperti rimasnya kota lumpur? atau indahnya seperti daerah pelangi yang Boja impikan selama ini?

Gegendang telinga mula berdesing tanda kapal terbang sedang meluncur turun ke landasannya. Seisi tubuh kapal bergegar sedikit mungkin atas sebab "turbulence" dalam bahasa kaukasianya dan secara literalnya bermaksud pelanggaran partikel awan yang tidak sekata dengan tubuh kapal, makanya getaran yang agak kurang menyenangkan akan terjadi. Apa tidaknya, mahu terhempas nanti kempunanlah Boja. Ini kali pertama dalam hidupnya ke kota berajakan permaisuri ini.

Dengan izin tuhan, tepat jam 11.07 malam, penerbangan 12jam Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke London itu selamat tiba. Malangnya getar masih lagi terasa di jantung cuma getarnya kali ini bukan atas sebab takutkan turbulence tapi getar cuak bercampur debar yang tak sabar-sabar. Usai hilang kelip nyalaan neon tali pinggang keledar atas kepala, sepantas kilat Boja capai Blackberry dari poket kirinya. Punat on ditekan dan satu sms diterima. Tertera nama "painkiller" pada skrin. Isinya? "Tak sabar dah ni! 'permaisuri london' on her way :)". Boja tak semena-mena senyum sendirian. "Alamak, dah macam orang gila", katanya dalam hati. Dipandang sekeliling takut ada yang perasan gerak tubuhnya kala itu.

Sms tersebut dibalas. Begini. "dan patik pun tersenyum"

Isnin, 13 Februari 2012

good morning kiss.

Sayup angin sepoi-sepoi bertiupan menggulung pepasiran dari pantai. Dan ada diantaranya yang ambil kesempatan membelai lembut pipi menggerutu Boja. Sekejap dengan batu nautika yang kuat, sebentar kemudian dengan laju yang agak kurang. Dedaunan pepohon kelapa laut pula seolah melambai-lambai dek tiupan kuat angin dari Selat Melaka. Berpagian begini di salah satu pulau terpencil adalah sangat menenangkan. Sebentar masalah bisa diketepikan. Diganti dengan tenang dari alam, jauh dari kebencian dan kesibukan kota yang menikam. Abaikan duniawi sejenak dengan memanjakan hati nurani kata Boja.

"Tak salah rehatkan minda untuk separuh masa pertama." kata Boja kepada salah seorang juruteranya, Zamri sewaktu luluskan cutinya beberapa minggu lepas. Zamri seorang jurutera yang tangkas dan cekap. Dan jarang keluar berhibur, apalagi untuk berlibur. Boja tahu sebab setiap staf yang bekerja dibawah jurisdiksinya hampir 100% Boja kenali. Itu pentingnya kewibawaan. Haha! (angkat bakul sendiri, pfffft!) Jadi Boja fikir, tak salah kiranya si Zamri diberi peluang barang sekali dua.

Sarapan yang terhidang di meja kopi masih belum disentuh. Permukaan kopi yang didekorasikan oleh abang latte tadi membentuk seolah seorang gadis sedang senyum. Dan Boja juga turut tersenyum. "Aku nak corak gadis itu bertudung", abang cafe latte angguk. "Nanti hantar kat depan chalet nombor ni, aku lepak situ, okay?" jerit Boja sambil tunjuk nombor di tag kuncinya sebelum berlalu keluar dari pantri cafe tersebut.

"It's a wonderful morning right?" seorang mat saleh berambut dreadlock tegur Boja. Boja senyum dan balas. "Yeah, and it'll be nicer if everyday is today, and today is everyday, haha!", keduanya tergelak bersama. "Wanna change it to a weederful morning?" mamat dreadlock sampuk. Boja terkejut dengan persoalan cemas tersebut. "No, i think i'll stick with the wonderful one", sambil Boja hulur kotak kreteknya.

Masing-masing mereka berbaringan bawah rimbunan, ditemani kelapangan dan ketenangan. Jauh di pinggiran dunia, mencampak diri bersama manusia yang rindukan lapang tawa, membawa diri demi kesejahteraan jiwa dari rimas kota. yakni, kota lumpur yang diura-ura penuh noda juga dosa.

"Boja! you kat mana?" jerit seseorang. Boja bangun dari kerusi malasnya lalu toleh belakang. Ray-band diselak ditongkat ke hidungnya yang agak mancung. Mata meliar ke sekeliling. Tapi suara wanita. Boja baring kembali. "Eh wanita?" Boja tersentak dan paling kembali. "Haih, mungkin cuma imaginasi". Boja sandar kembali.

Sedang Boja tengah gapai cawan kopinya, Boja dipeluk dari belakang. "Mana good morning kiss i?"

Suara wanita, ya memang suara wanita. Jantung laju.

Ahad, 12 Februari 2012

pantulan

pergilah,
jangan pernah kau kembali,
selagi belum bisa kau berdiri sendiri,

pergilah,
jangan pernah kau kembali,
selagi pundak rasa itu belum kau jiwai.

pergilah,
kembara kau mencari,
landai langit juga tinggi itu bumi,

pergilah,
kembara kau mencari,
bagaimana cinta yang harus kita ladeni.

andai kau tersungkur,
berdirilah kau kembali,
bina kudrat dan perah keringat mu sendiri.
tapi ingatlah,
harus sentiasa tunduk dan wajib sentiasa perhati.

Khamis, 9 Februari 2012

berbual mungkin?

Kadang-kadang aku terfikir. Setiap yang berlaku pada aku, diri aku, diri dia, diri mereka, semuanya ada saling kait yang kadang-kadang kita nampak, waima secara zahir atau tidak. Dan sudah menjadi naluri aku sebagai seorang aku, saling kait itu aku akan fikirkan apa hikmahnya semua benda itu terjadi. Walaupun selalunya akan berakhir dengan jalan buntu. jalan mati. Tak nampak satu hapa pun. Aku tetap fikir. Akhirnya pening tak bersudah.

Tapi pernah atau tidak terlintas sedikit sebenarnya setiap yang ditunjuk dan dipampangkan di depan setiap pancaindera kita ada sesuatu yang dijanjikan oleh Dia. Ya, sesuatu. Tak sekarang, nanti. Tak begini, begitu. Tak di sini, di situ. Pasti ada caranya sendiri Dia mahu manipulasikan. Dia dengan cara Dia, keunikan Dia, ke-Maha-an Dia, kebesaran Dia. Kenapa? sebab itu kerja Dia. Kita cuma melaksana. Dan yang pasti bukan secara kebetulan. Metodologi pelaksanaan kita juga Dia yang rangka. Setiap plot itu sebenarnya sudah tertulis. Termaktub.

Itu baru cara Dia merancang. Belum lagi cara Dia laksanakan setiap yang sudah Dia tulis. Bapak aku pernah cakap dan aku simpan sampai hari ini, "Tuhan kalau nak tunjuk sekarang, sekarang jugak Dia taram, itu lah kuasa 'Kun faya kun'". 'Kun faya kun' ini kalau tak silap bermaksud, 'jadilah, maka jadilah'. Betapa besarnya kuasa Dia, kan? Itulah sebabnya Dia Yang Paling Maha.

Aku tak berperasaan mahu berpuisi atau berimaginasi sekarang ini. Mungkin sebab aku kurang gila lagi. Sampai tahap gilanya, adalah entri-entri pelik yang kalian akan boleh cakap begini. "Apa benda mamat ni? Gila ke?". Kawan, elok-elok sikit. Gua dah memang gila, lu nak buat macamana. Jawap aku kepada anonymous terbabit.

Dan yang penting sekarang. Aku masih percaya, apa yang terjadi, dan sedang jadi, dan yang bakal jadi punya sesuatu yang Dia sedang rancangkan untuk aku sebagai hamba-Nya.

Tuhan Maha Esa. ALLAHU AKBAR!

Rabu, 8 Februari 2012

hati

jauh di dasar,
walau sedikit tercalar.
aku simpan elok,
tersorok dalam gerobok.

apa perlu aku peram lapuk?
sampai berdebu habuk?

atau perlu aku tukar ganti?
dengan tenang dari jagat, juga damai dari rakyat bumi?